Wednesday, January 4, 2012

Nyamuk Ajar Al Quran

“Wahai nyamuk-nyamuk sekalian! Aku berlindung kepada Tuhan kita daripada kemudaratan olehmu. Jauhilah aku. Aku berada di sini demi Allah!” Bisikku dalam kegelapan malam.

Aku tidak tahu sama ada nyamuk faham bahasa melayu atau tidak. Namun, dengan maksud sebenarnya bisikku itu adalah permintaanku kepada Allah.

Aku tunggu lima minit. Belum ada dengung nyamuk atau rasa pedih gatal. Subhanallah, Allah raja segala kebaikan dan kemurahan. Tak ada nyamuk datang. Aku rasa sangat bahagia dan senyum-senyum kerana doaku termakbul.

Kemudian, satu soalan terilham di kepalaku, “Eh! Layakkah aku berbangga?”

Astaghfirullahal ‘azim! Apakah yang telah aku fikirkan ini? Aku telah berbangga dengan doaku yang sekecil kuman penuh kotoran. Aku telah merasakan bahawa doaku itulah yang menyelesaikan segala masalah. Aku fikir doaku itu yang melindungiku? Apa aku sudah merasakan bahawa doaku itu yang menjauhkan nyamuk daripadaku, bukannya kemurahan Allah?

Astaghfirullahal ‘azim. Maha Suci Allah.

Aku sangat kesal dengan riak yang aku cipta tadi. Hinanya aku rupa-rupanya, ya Allah. Hakikatnya manusia tidak pernah melakukan apa-apa kerana Allah itu Esa, Allahu ahad. Hanya Allah Al-Wujud. Manusia tidak wujud sama sekali, manusia dicipta. Bukan manusia yang mengangkat gelas untuk minum tetapi Allah-lah yang mengangkat gelas itu. Bukan manusia yang menaip di komputer tetapi Allah yang melakukannya. Bukan aku yang mengangkat tangan untuk berdoa, tetapi Allah yang mengangkatnya!

“Ya Allah, jika gigitan nyamuk dan luka berdarah itu lebih baik untukku supaya Engkau redha padaku, aku redha ya Allah. Datangkanlah nyamuk-nyamuk itu dengan segera.”

Iiiiiiii….iiiiuuuu…. Bunyi nyamuk kedengaran dan kakiku mula merasa sentuhan jarum makhluk penghisap darah itu. Entah bagaimana dapat aku gambarkan perasaan aku ketika itu apabila telah terbukti Allah sedang mendengarkan aku, dan mungkinnya Allah redha padaku ketika itu, dan aku redha pada-Nya ketika itu. Dan paling menakjubkan, aku langsung tidak merasa sakit atau pedih. Lalu hatiku menjadi sangat redha.

Tidak lama selepas itu, tiada lagi tanda-tanda kehadiran nyamuk di situ.
Yang tinggal, hanya aku dan Allah. Aku dan Allah. Aku dan Allah.

Aduhai!

Aku telah terlupa, siapalah aku untuk berasa gembira bangga dengan doa yang hina daripada seorang hamba yang tiada apa-apa. Dan Allah mengilhamkan aku untuk menyedari dosaku itu, dan aku pula dikurniakan saat yang indah untuk berbicara dan berkenalan dengan-Nya. Maha Suci Allah, yang hanya daripada-Nya seseorang boleh menerima hadiah selepas menyedari dosa!

Subhanallahil ‘azim.

Inilah bagaimana nyamuk mengajarkan aku, ‘Qulhu Allahu Ahad!’

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Mohamad Tajuddin. Powered by Blogger.